RHB Insurance Jangka Premium Lepasi RM100 Juta Tahun Ini, BookDoc featured on Bernama.com

with No Comments

BookDoc featured on Bernama.com

RHB Insurance Jangka Premium Lepasi RM100 Juta Tahun Ini

 
Last update: 19/09/2017
 
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Premium bertulis kasar insurans kesihatan RHB Insurance Bhd dijangka melepasi RM100 juta tahun ini, naik daripada RM53 juta dalam separuh pertama tahun ini.

 
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya Kong Shu Yin, berkata sasaran itu akan dicapai dengan memanfaatkan teknologi digital, termasuk menjalin perkongsian dengan aplikasi penjagaan kesihatan dalam talian — BookDoc.

 
“Dengan memanfaatkan teknologi digital, RHB Insurance berhasrat mengembangkan portfolio insurans kesihatannya sebagai arus pendapatan utama ketiganya selain portfolio insurans kebakaran dan motor yang mencapai kejayaan besar,” katanya.

 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeterai perjanjian perkongsian dengan Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc, Datuk Chevy Beh, di sini, hari ini.

 
BookDoc ialah syarikat pemula niaga teknologi penjagaan kesihatan tempatan yang telah menjalin perkongsian dengan lebih 50 peruncit dan penyedia perkhidmatan kesihatan dari 12 negara.

 
Ia menawarkan kepada pengguna yang mencapai had dan sasaran purata-langkah-harian dengan diskaun bagi produk dan perkhidmatan setiap bulan.

 
Kong berkata dengan perkongsian bersama BookDoc, ia bukan sahaja membantu mempromosikan produk insurans syarikat itu tetapi juga menggalakkan pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

 
“Ini akan membolehkan kami menginsurans pelanggan yang sihat pada premium rendah, dan sudah tentunya, mengurangkan tuntutan perubatan,” katanya.

 
Kong berkata RHB Insurance telah menggandakan bahagian pasarannya dalam segmen insurans kesihatan dan menjadi penginsurans kesihatan keempat terbesar dalam kalangan syarikat insurans am, meningkat daripada kedudukan kelapan pada dua tahun lalu.

 
Menurutnya, segmen insurans kesihatan dijangka menyumbang sehingga 30 peratus daripada jumlah keuntungan syarikat dalam tempoh tiga tahun akan datang, naik daripada 20 peratus ketika ini dengan keuntungan berbaki disumbang daripada segmen insurans kebakaran dan motor.

 
Ketika ini, syarikat insurans itu memiliki lebih 100,000 pemegang polisi insurans hayat individu.

 
 
— BERNAMA